12 May 2019

Kerabu Sare @ Sarang Kelantan





Salam, saya Dr Razinah dari UKM (ore klate gok). Nak share pasal penulisan saya di page Ini Sains Beb berkenaan kerabu sare

Perihal Kerabu Sare

Jika tahun lepas makanan viral di bukan puasa adalah kuba guling, tahun ini kita dihidangkan pula dengan kerabu sare/sarang. Kerabu yang agak popular di Kelantan dan Terengganu ini lazim dihidangkan bersama item lain dan dimakan ketika berbuka puasa. Namun, kerabu sare turut dijual di luar bulan puasa namun ia agak tidak popular.

Kerabu sare sebenarnya terdiri dari beberapa komponen utama, iaitu rumpai laut yang telah dikeringkan/segar, kelapa yang digoreng tanpa minyak, ikan rebus dan tumis. Namun hari ini, kita akan mengupas tentang rumpai laut yang digunakan dalam kerabu sare berkenaan.

Penyelidik dari Mardi telah mengenalpasti bahan yang digunakan dalam kerabu sare itu adalah rumpai laut yang telah dikeringkan/segar dari spesies Gracilaria dan lebih dikenali sebagai Algae Perang/Brown Algae. Spirulina yang lebih terkenal adalah dari kumpulan Alga Hijau/Green Algae. Terdapat satu lagi kumpulan algae iaitu red algare/algae merah.

Berbalik kepada rumpai laut dalam kerabu sare tadi, ia banyak digunakan dalam perubatan dan ramuan makanan di Korea, Japan dan China kerana khasiat perubatan yang tinggi. Antara kajian yang telah dijalankan terhadap spesies rumpai laut ini adalah berkenaan perlindungan terhadap sel neuron. Didapati, rumpai laut yang digunakan dalam kerabu sare ini mampu melindungi neuron dan boleh dijadikan antara pencegah bagi penyakit berkaitan dengan neuron otak seperti nyanyuk dan kerosakan kognitif ringan.

Selain itu, kajian turut dilakukan dalam ikan di mana algae yang diletakkan dalam makanan ikan mampu memelihara kesihatan DNA ikan tersebut dan baik untuk kesihatan ikan terutamanya ikan ternakan. 

Kajian terdahulu juga turut mengaitkan penemuan sebatian terkini dalam spesies rumpai laut berkenaan yang berpotensi digunakan sebagai anti-inflamatori. Umum mengetahui, inflamasi lazim berlaku dalam kebanyakan penyakit.

Selain itu, kajian dengan menggunakan spesies Gracilaria dari Johor dan Selangor turut menemui kandungan antioksidan yang tinggi dan pelbagai faedah lain seperti kesan antibakteria dan antikanser. Namun, kajian yang dijalankan adalah bersifat preliminari kerana ianya dijalankan di dalam model in vitro. Walaupun begitu, kajian ini tidak menafikan akan khasiat dalam rumpai laut brown algae ini. 

Sebenarnya, terdapat banyak lagi kajian lain yang mengaitkan spesies rumpai laut ini dengan khasiat dan penyelidikan, apa yang berbeza adalah spesies yang digunakan, namun ianya dari famili yang sama iaitu Gracilaria. Boleh sahaja pembaca pergi ke laman web PubMed dan cari sahaja Gracilaria.

Penyelidik dari MARDI ada menyebut mengatakan sumber sare/rumpai laut yang digunakan adalah dari Kedah, di mana ianya dijual kepada orang di Kelantan dan Terengganu. Setakat ini, penulis masih tiada sumber maklumat berkenaan sumber rumpai laut ini. 
 
Kesimpulannya, rumpai laut yang digunakan adalah sangat tinggi khasiat perubatan, namun proses pengeringan mungkin telah mengurangkan khasiat rumpai laut berkenaan. Lebih baik jika dimakan segar begitu. Walaubagaimanapun, tidak salah jika anda cuba kerabu sare kerana ianya tinggi khasiat dan mempunyai pelbagai faedah terhadap kesihatan tubuh.

Jadi, jom cuba kerabu sare! Ada tak dijual di KL?

#micronucleus

Rujukan : 
1. Mohamad et al. 2013. Daya maju dan daya saing industry rumpai laut di Malaysia. Economic and Technology Management Review. Vol 8(2013)1-11.
2. Antony T and Chakraborty K. 2019. First report of antioxidative 2H-chromenyl derivatives from the intertidal red seaweed Gracilaria salicornia as potential anti-inflammatory agents. Nat Prod Res. doi: 10.1080/14786419.2019.1579807
3. De Silva et al. 2019. Sulfated polysaccharides from the marine algae Gracilaria caudata prevent tissue damage caused by ligature-induced periodontitis. Int J Biol Macromol. 2019 Mar 26;132:1-8. doi: 10.1016/j.ijbiomac.2019.03.
4. Mohibullah et al. 2016. The Edible Red Seaweed Gracilariopsis chorda Promotes Axodendritic Architectural Complexity in Hippocampal Neurons. J Med Food. 2016 Jul;19(7):638-44. doi: 10.1089/jmf.2016.3694.
5. Andriani etl al. 2016. Biological Activities of Isolated Compounds from Three Edible Malaysian Red Seaweeds, Gracilaria changii, G. manilaensis and Gracilaria sp.Nat Prod Commun. 2016 Aug;11(8):1117-1120.

Kredit gambar : 

1. https://www.teganukita.net/2017/06/kerabu-sare-makanan-eksotik-memikat.html
2. https://says.com/my/lifestyle/traditional-malaysian-local-dishes-and-kuih-dying

1 comment:

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.

Note: only a member of this blog may post a comment.