04 August 2019

Hantar Yashica Masuk Ward



Hari Selasa lepas masa tengah scroll layar diod pemancar cahaya telefon sel. Ada satu hantaran dari teman peminat kamera analog. Ada filem 35mm yang sudah tamat tempoh, hendak dijual.



Tilik punya tilik, aku berkenan. Memikirkan Yashica MG-1 aku yang sudah agak lama tidak berkhidmat, aku mengesahkan tempahan dan Rabunya aku jumpa Wan untuk dapatkan gulungan filem ini.

Dalam masa yang sama aku terlintas untuk bertanyakan tentang pakar ataupun seseorang yang dapat membaikpulih Yashica aku tu. 

Uncle Wong, nama yang terpancul dari mulut Wan. Wan cakap, kalau dengan Uncle Wong tak payah risau. Dia akan buka dan periksa dahulu. Kalau dia tidak dapat baiki, dia akan pulangkan seperti asal tanpa bayaran. Kalau berjaya baiki pula, upah dan barang paling murah sekitar Kuala Lumpur!

Aku berharap.

Esoknya, Khamis... aku bergegas ke Jalan Petaling di ibu kota menaiki LRT. Dalam agak-agak aku mencari kedai yang Wan cakap semalam. Katanya ‘Kedai Uncle Wong bukan kedai kamera. Tapi kedai ‘bakery’ lot bucu, nama Happy apa tah.’ 

Nasib menyebelahi aku. Turun sahaja dari stesen Pasar Seni. Aku berjalan sedikit tak lebih 10 minit. Nah, terpampang kedai yang aku agak betul dah kedai Uncle Wong. 

Tanpa berlengah, aku menyapa seorang aku kira peringkat ayah-ayah juga. 

‘Hello bos, ini kedai Uncle Wong ke?’ 

‘Ha! Iya... sayalah Uncle Wong. You ke yang telefon tadi?’ Jawab Uncle.

Selepas mengiyakan soalan Uncle Wong, aku terus hulur Yashica aku dan disambut kemas Uncle Wong.

‘Aiya... you tengok ini. Banyak rust, habuk pun banyak. Selalunya model ini you dengar ni...’ katanya sambil mendekatkan picu ‘shuttle’ di telinga kiri aku.

‘Sepatutnya bila tarik ini you boleh dengar ktakk!. Tu tandanya shuttle speed hidup ada control. Tapi tak pa, ini uncle boleh kasi elok punya. Cuma film chamber ni kalau ada body lain, uncle tukar dalam ye?’ Tanya Uncle Wong meminta persetujuan.

Aku angguk tanda setuju. Selepas diminta tulis nama dan nombor telefon, Uncle Wong minta seminggu untuk dia cek dan baiki.

Sekarang aku masih dalam mod menunggu. Berdasarkan testimoni kawan-kawan. Kerja Uncle Wong memang kemas. Aku lega. 

Semoga sempat Yashica berkhidmat di hari raya Aidiladha nanti. Doakan ya!




No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan hyperlink blog anda di komen (cara-cara dalam LINK INI ) kerana kebanyakan masa saya menggunakan mobile dan memudahkan saya dan pembaca lain untuk melawat blog anda kembali. Terima kasih daun keladi.

Note: only a member of this blog may post a comment.